Assalamualaikum w.b.t
Cinta adalah fitrah yang lahir dari lubuk hati
setiap manusia. Setiap manusia memiliki fitrah untuk mencintai dan dicintai,
tapi cinta itu hendaklah dibina atas dasar keimanan agar ia tidak akan menjadi
fitnah.
Sering kita dengar bahawa cinta antara lelaki dan
perempuan ajnabi itu akan halal selepas selesainya akad nikah. Ramai yang
mengakuinya, namun ramai juga yang tidak mengendahkannya.
Perasaan cinta itu tidak salah kerana ia adalah
anugerah Allah. Kita hendaklah memeliharanya daripada menjadi fitnah duniawi.
Tanpa kita sedari kehadirannya akan membawa wabak yang agak susah untuk dipadam
kalau tidak berjaga-jaga dari awal.
Cinta itu perlulah disalurkan di tempat yang
sepatutnya agar kita tidak dilabelkan zalim yakni meletakkan sesuatu bukan pada
tempatnya. Cinta itu begitu indah apabila dihayati dengan aturan Islam.
Diri ini sering tertanya-tanya, adakah dengan
ber'couple' itu lengkaplah kebahagiaan kehidupan ini? Persoalan ini timbul
apabila melihat ramai kawan-kawan terdekat ber'couple'.
Benarkah cinta itu
wujud apabila kita mempunyai pasangan kekasih yang selalu bertanya khabar,
ber-sms, ber'chat'ing di Facebook, atau
berjumpa ('dating') berdua-duaan untuk melepaskan rindu dan bergayut di
telefon? Ke manakah hala tuju perhubungan itu? Adakah ia direstui keluarga
atau, persoalan yang lebih besar, adakah perhubungan itu diredhai Allah? Adakah
ini semua dinamakan cinta?
Persoalan ini sering berlegar di mindaku tanpa ada
noktah jawapannya. Astgahfirullahalazim, bermuhasabahlah teman-teman, moga diri
kita tidak tergolong dalam kalangan hamba yang lalai dengan cinta duniawi ini.
Berdasarkan pemerhatian, aku sering melihat dan
mendengar pelbagai karenah rakan-rakan yang ber'couple' ini. Sebagai contoh,
mereka menghabiskan banyak masa bersama si dia dan mendengar janji-janji
manisnya yang disampaikan dengan suara yang sengaja dilunakkan serta
dilembutkan. Bukankah suara itu juga sebahagian daripada aurat kita?
Allah SWT berfirman,
"...Oleh itu janganlah
kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)
kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam
hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata
yang baik (sesuai dan sopan)."
(Surah al-Ahzaab, ayat 32)
(Surah al-Ahzaab, ayat 32)
Mengapa perlu diucap perkataan sayang, cinta dan
rindu kepada yang bukan halal bagi kita? Simpanlah kata-kata manismu untuk si
dia yang halal bagimu dan bukan kepada yang membawa kamu ke jalan kemaksiatan.
Apabila ditanyakan persoalan tentang perkahwinan,
selalunya mereka yang ber'couple' terdiam sepi kerana tiada jawapan. Bukankah
lebih elok jika dipercepatkan perkahwinan? Rasulullah SAW bersabda: "Tiga
perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk
waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis
setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya." (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Benarkah apabila selalu keluar bersama, kita dapat
mengenali pasangan dengan lebih baik atau sekadar untuk mendapatkan perhatian
dan keseronokan dunia? Ataupun untuk dijadikan tempat mengadu segala masalah?
Bukankah Allah itu tempat terbaik untuk berbicara dari hati ke hati? Ayat-ayat
cintaNya itulah penawar duka lara kita ketika susah senang dan dapat
mententeramkan hati kita.
Allah SWT berfirman,
"...Ketahuilah bahawa
dengan mengingati Allah itu hati akan tenang."
(Surah ar-Raad, ayat 28)
(Surah ar-Raad, ayat 28)
Kadang-kadang terdengar ramai lelaki mengatakan
perempuan yang tidak melayan ajakan maksiat mereka itu sombong. Kenapa boleh
berkata begitu? Apabila si perempuan tidak membalas teguran dan ajakan untuk
'berkenalan', itu bukannya sombong, tapi itu adalah untuk menjaga diri.
Sedarlah lelaki di luar sana, jika anda mahu ibu
kepada anak-anak anda baik, maka jadikanlah diri anda baik dahulu. Jika anda
ingin dihormati, hormatilah pasangan yang bakal anda nikahi terlebih dahulu.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang sering
kita dengari yang bermaksud,
"Perempuan-perempuan
yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk
perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik
untuk laki-laki yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan
orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."
(Surah an-Nur, ayat 26)
(Surah an-Nur, ayat 26)
Hatiku lagi pedih apabila terpandang atau memandang
rakan-rakan yang betudung labuh litup, malah ada juga yang sebilangannya
berpudah tapi malangnya mengambil istilah 'couple islamik'.
Benarkah 'couple islamik' itu wujud? Bukankah
'couple' itu haram kerana mereka yang ber'couple' menjalinkan kasih sayang
dengan bukan mahramnya tanpa ikatan yang halal? Bukankah mereka lebih
berpengetahuan agama dan lebih mengerti akan perkara ini?
Sedarlah wahai teman, itu hanyalah sandiwara
syaitan yang ingin mempermainkan dirimu. Perbuatanmu itu boleh merosakkan nama
baik muslimah yang lain; yang benar-benar menutup auratnya untuk menuju redha
Ilahi. Bak kata pepatah Melayu, "Kerana nila setitik, rosak susu
sebelanga."
Kenapa perlu
ada 'couple'? Kenapa ia menjadi satu trend? Adakah disebabkan pengaruh rakan
sebaya? Banyak kata-kata cinta dikongsi bersama di Facebook, tetapi sejauh manakah ia memberi kesan kepada
hati kita? Dengan bicara kata-kata indah dan puisi yang begitu cantik susunan
bahasanya, bolehkan ia memberi kesan dan menjadi pengajaran serta peringatan
untuk diri sendiri?
Ingatlah, hanya dengan mengingatiNya hati kita akan
menjadi tenang. Kita sering mendambakan kata-kata yang indah, lupakah kita
ayat-ayat dariNya begitu indah bila kita mentadaburkan maknanya dan mengamalkan
apa yang disuruh serta meninggalkan apa yang dilarang?
Penting sangatkah ber'couple'? Kenapa ia boleh
berlaku? Adakah kerana hati kita kosong? Sedarkah teman-teman termasuk diri
ini, mengapa kadang-kadang hati kita merasa kosong? Bila hati rasa tidak
tenang, bermuhasabahlah, fikir balik adakah kita sudah selesaikan tanggungjawab
kepada Tuhan? Bila rasa susah hati, tanya pada diri adakah kita ada berhutang
dengan sesiapa di luar sana? Bila hati terasa sedih, fikir balik pengorbanan
apa yang kita tidak pernah buat dan apa pengorbanan orang lain terhadap kita.
Cara untuk mendapat ketenangan hati bukannya dengan
mengadu kepada 'couple' kita, tapi dengan mengadu kepada Allah yang Maha
Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Berkuasa, kekasih hati yang hakiki.
Kita hendaklah sentiasa berdoa untuk orang lain
(bukan hanya berdoa untuk diri sendiri sahaja). Melalui doalah hubungan kita
dengan Allah akan menjadi lebih baik. Doa juga menjadi peringatan untuk diri
sendiri supaya menjauhi kemungkaran di dunia ini untuk mendapat syurgaNya di
sana. Cinta suci yang seharusnya kita garapkan dahulu ialah cinta kepada Allah,
Rasulullah dan kedua ibu bapa.
Oleh itu jagalah maruah diri, dan yang utama, jagalah
hati. Berhati-hatilah dengan hatimu kerana dirimu begitu berharga pada
pandangan Allah, bukan pada pandangan si dia. Cinta Allah terlalu Agung
berbanding cinta si dia yang boleh hilang dan meninggalkan dirimu pada
bila-bila masa sahaja. Cinta Allah kekal selamanya sampai ke syurga.
Yakinlah dengan janjiNya untuk pertemuan dengan si
halal bagi menyempurnakan kasih sayang di muka bumi ini. Masa dan waktu
menentukan segalanya berserta doa yang sering dipanjatkan kepadaNya. Jagalah
cinta kalian untuk yang halal sahaja. Insya-Allah, masa itu akan tiba.
Bersabarlah teman dan jangan penat memperbaiki diri serta mencari ilmu rumah
tangga yang bakal ditempuhi.
Setiap permasalahan 'couple' itu ada
penyelesaiannya iaitu bernikah. Jadilah contoh yang terbaik dalam mengikuti
sunnah Rasulullah dengan membina ikatan pernikahan. Percintaan selepas
perkahwinan itu adalah salah satu jalannya. Maka, jagalah diri, jagalah hati
dan jagalah iman kita. InsyaAllah, dipermudahkan segala urusan.
* insya allah.. c& p :: i love islam artikel
No comments:
Post a Comment